Thursday 29 January 2015

Rezeki atau Dugaan?

Pada suatu petang, aku berjalan seorang diri ke pantai. Saja nak melepaskan penat sambil mencari ketenangan. Keindahan laut membuatkan aku lupa pada semua peluh yang aku hasilkan pada hari tersebut. Sue, sudah lena atas tilam empuk di bilik ber-aircond kami. Bukan tak diajak, dia yang taknak. Takde pilihan, aku terpaksa pergi sendiri. Namun sue sempat berkata begini sebelum aku pergi, “belikan aku burger satu ye…”

Syiling di dashboard kereta aku kutip lalu kukira. RM2. Cukup untuk membeli seketul aiskrim roti. Ya! Walaupun Teluk Batik Resort, tempat aku menjalani latihan praktikal itu hanya berhadapan dengan pantai teluk batik, namun kakiku terasa terlalu lemah untuk berjalan kaki kesana. Kereta yang ibu pinjamkan selama aku praktikal disitu aku manfaatkan.

“Makcik, aiskrim roti satu.” Pintaku dengan suara yang manja lemah lembut.
Aiskrim ku ambil dan kubawa ke satu tempat duduk yang agak sunyi. Jauh sedikit daripada pasangan pasangan bercinta yang datang ke situ. Aku memanjatkan kesyukuran pada yang esa atas nikmat yang aku nikmati saat itu. Laut yang lusa terbentang itu ku pandang. Membayangkan diriku sedang dibuai-buai ombak.

Matahari yangmenyilaukan mata itu perlahan-lahan membenamkan diri, tanda malam bakal menjelma. Tepat jam 7.20 sang suria hilang dari pandangan. Namun silaunya masih ketara di mata. Kata ibu anak dara tak baik merayap waktu senja.  Dengan berhati-hati aku berjalan untuk pulang, takut-takut terjelopok di pasir.

Sewaktu menyusuri lorong pejalan kaki, dari jauh mataku tertancap pada satu objek yang berwarna hijau. Mataku yang rabun ayam itu tidak dapat meneka apa gerangan objek tersebut. Setelah menghampiri beberapa meter baru aku sedar, not RM5. Dengan gelojoh sopan aku tunduk dan mengambil objek tersebut. Aku yakin sesiapa yang terjadi situasi seperti ini pasti akan melakukan yang sama. Mustahil ada manusia yang sanggup membiarkan objek hijau itu sendirian di pinggir pantai. Tambahan pula waktu malam disitu sangat dingin. Kasihan dia~

Dalam hati aku terdetik perkataan ‘rezeki’. Namun akal waras ku mengatakan ini adalah ‘dugaan’. Ya! Objek hijau itu adalah dugaan untuk aku. Mungkin Allah ingin menguji sejauh mana imanku. Otakku mencongak wang perbelanjaanku untuk minggu tersebut. Sekeping not biru yang ibu beri beberapa hari yang lalu masih belum luak. Aku tidak terdesak. Jadi aku patut memulangkannya pada yang lebih berhak.

Mustahil untuk aku mencari pemiliknya. Oleh itu, wang tersebut aku simpan dahulu. Esoknya aku ke pasar malam Manjung. Disitu aku terjumpa seorang pakcik yang duduk di atas papan beroda. Dihadapannya ada sebiji mangkuk yang berisi beberapa keping duit. Aku yakin pakcik itu lebih berhak berbanding aku untuk memiliki objek hijau tersebut. Lalu selamatlah objek hijau kuserahkan padanya.






Moral of the story: Jangan memiliki sesuatu yang bukan milik kita.