Tuesday 11 February 2014

entry emosi :: Puisi Buat Arwah...

Rindu
Saat ini perasaan rindu menghantuiku
Aku buntu
Tak tahu arah tuju
Apa harus aku lakukan
Berjumpa? Mendengar suara? Atau…melihat dari jauh?
Semua itu tidak mampu aku lakukan lagi
Kerana mereka tiada lagi di dunia ini
Saat bersama sudah berlalu
Saat gembira hanya tinggal kenangan
Gelak tawa mahupun suara  marah tidak dapat aku dengar lagi

Rindu…
Hati ini terlalu pilu apabila mengenangkan kenangan yang telah berlalu
Ku cuba tenangkan hati yang lara
Memujuk agar ingat pada maha pencipta
Kerana DIA lebih berkuasa
Setiap ketentuannya ada hikmah pada kita
Setiap yang hidup pasti akan kembali jua padaNYA
Aku tahu itu
dan aku juga pasti akan menyusul mereka
aku berharap agar pada waktu itu aku sudah bersedia menghadapNYA
Allahuakbar!
Al-fatihah buat abah dan Dayat.
Kalian insan yang sangat aku cinta
Terlalu cinta……

Dayat,
Saudaraku yang paling rapat
Satu-satunya adik yang manja, degil, nakal dan comel
Satu-satunya insan yang memanggilku dengan gelaran ‘Kak cik’
Kak cik terlalu sayangkan Dayat
Kenangan kita bersama tidak akan Kak cik lupakan
Pernah dulu sewaktu cuti tahun Baru Cina
Kak cik yang ketika itu di tingkatan 3 bercuti seminggu
Kak cik ceritakan tentang kisah nabi daripada buku yang kak cik pinjam di sekolah
Ada sebuah kisah tentang anak-anak nabi Adam di mana kematian pertama yang berlaku di dunia

Dayat tanya pada kak cik
“Sakit tak mati?”
Kak cik hanya menjawab..
“Satu hari nanti Dayat juga akan rasa mati…
Tapi jangan risau, lambat lagi sebab dayat masih kecil”
Kuasa Allah
Mati tidak kira usia
Seminggu kemudian Kak cik yang sudah pulang ke asrama dapat berita paling buruk seumur hidup kak cik
Dayat meninggal dunia akibat lemas
Saat itu hanya Allah yang tahu perasaan Kak cik
Bagai mahu gugur jantung ini
Kau terlalu kecil dik ketika itu
hanya 8 tahun 5 bulan!
Kak cik selalu risau memikirkan yang Dayat akan takut berada di ‘sana’ sendirian
Tapi mak selalu kata pada kak cik
“adik lebih bahagia di sana, kerana dia insan istemewa yang hanya dipinjamkan Allah kepada kita..sudah tiba masa Allah mengambil semula hakNYA.”
Kak cik harap Dayat bahagia sepanjang menjadi adik Kak cik

Abah..
Di ruang mataku ini sering terbayang abah yang sihat dan bertenaga
Abah yang bertugas sebagai tentera
Abah yang menjual kuih selepas bersara
Abah yang selalu menghantar dan ambil ku dari sekolah
Abah yang selalu mencubitku jika menyampuk perbualan orang tua
Abah yang suka menonton berita
Abah yang akan mengajar anak-anaknya niat puasa setiap kali sahur bersama
Abah yang tenang dalam apa jua perkara
Abah yang berwajah garang dan tak banyak kata

Rindu..
Semua itu cerita bertahun tahun yang lalu
Sejak abah diserang strok pada 2006 semuanya berubah
Abah jadi pemarah
Abah jadi lemah
Abah tidak lagi memandu
Abah tidak lagi menjengukku di asrama atau di sekolah
abah hanya bergantung pada tongkat
tangan dan kaki kiri abah tidak lagi mampu bergerak
namun abah masih mampu berdikari
mampu menguruskan hal sendiri tanpa bantuan sesiapa
aku kagum dengan abah
jika aku ditempatnya belum tentu aku mampu menanggung sakit itu bertahun lamanya
6 tahun!

Abah pergi jua dengan penyakit yang ditanggung selama 6 tahun
Di hujung-hujung usiamu abah kelihatan terlalu uzur
Setiap kali wajah uzur abah terbayang di ruang mata
Air mataku mengalir dengan sendirinya
Terlalu pilu rasa hati melihat derita yang abah tanggung selama ini
Hingga saat abah menghembuskan nafas yang terakhir, kami sekeluarga hanya mampu mengucap melihat seksanya tercabut nyawa dari jasad
Aku bersyukur kerana pada malam sebelum abah pergi aku sempat bersama denganmu, berbual sebagai anak beranak buat kali terakhir
Aku memohon ampun dari abah
Seolah-olah tahu yang abah akan pergi
Walaupun abah terbaring dan tidak sedarkan diri
Namun aku yakin abah mendengar segalanya
Cuma tidak lagi mampu membalas kata.
Ya ALLAH…peritnya hati ini bila membayangkan keadaan abah ketika itu
Semoga roh abah dan Dayat ditempatkan dalama kalangan orang orang yang beriman
Al-fatihah…




1 comment: