Kereta Proton Inspira berwarna hitam itu meluncur laju di lebuh raya. Perjalanan
yang menghala ke utara tanah air itu memakan masa dua jam setengah untuk keluar
di exit tol Simpang Pulai. Tidak
sampai sepuluh minit keluar dari tol, mereka tiba di rumah yang terletak di
Bandar Seri Botani.
“Mama, Kakak cuti dua minggu ni kita ada pergi mana-mana tak?” Tanya
Ieqwa sewaktu mengangkat beg dari boot
kereta. Puan Asma yang sedang membuka kunci rumah memandang Ieqwa.” Nak pergi
ke mana? Kakak je yang cuti dua minggu. Abah dengan mama tetap kena kerja, mana
ada cuti.” Jawab Puan Asma. Ieqwa memuncung, hampa. Terlupa pula dia yang cuti
penggal di Universiti tidak selaras dengan cuti penggal persekolahan.
Walaupun dia bercuti selama dua minggu, abah dan mamanya yang bekerja
sebagai guru itu tetap perlu bekerja. Hasratnya ingin pergi bercuti tidak
kesampaian. Nampaknya cuti dua minggu ini hanya akan dihabiskan di rumah
sahajalah. Secara tidak langsung akan menyumbang kepada bil eletrik yang
melambung tinggi.
Mana tidaknya, pasti dia akan mengisi masa selama dua minggu ini dengan menonton televisyen. Bosan
menonton televisyen, dia berkalih menghadap laptop.
Radio di biliknya pula wajib berkumandang sentiasa sepanjang dia berada di
rumah. Penghawa dingin sudah tentulah dua puluh empat jam terpasang. Kata abahnya,jika
dia tidak pulang bercuti dalam sebulan, bil bulanan mereka jimat dua kali
ganda.
Ieqwa merebahkan badan di atas katil. Dia bergolek-golek untuk
melepaskan rindu di tilam empuk itu. Tidak berapa lama kemudian dia terlena
sendiri.
Kehadiran Ieqmal yang melompat-lompat di atas katilnya itu mengganggu
lenanya. Ieqwa terpisat-pisat namun masih malas untuk bangun. Cadangnya dia
mahu menyambung tidurnya yang terganggu itu. Tetapi tindakan Ieqmal yang
melompat duduk di belakang badan Ieqwa membantutkan segalanya.
“Arkk!” Ieqwa menjerit kesakitan. “Sakitlah budak kecik oi!” Ieqmal
makin seronok menjadikan badan kakaknya sebagai ‘kuda’.
“Hishh! Susahlah bela budak kecik ni, turunlah!” Separuh menjerit Ieqwa
menyuruh adiknya turun.Ieqmal pula hanya ketawa keriangan.
“Degil ye? Siap kau!” Ieqwa memberi amaran. Dia berpusing dan melenyek
badan adiknya di tilam. Menjerit Ieqmal dibuatnya. Kedua-dua belah tangan
adiknya dipegang lalu digigit perlahan. “Padan muka!” Ujar Ieqwa sebelum
melarikan diri ke ruang tamu. Ieqmal turut mengejar kakaknya.
Encik Zainal yang sedang menonton televisyen memandang anak-anaknya yang
sedang berkejaran itu. Ieqwa terus duduk di sebelah abahnya. “Kenapa ni main
lari-lari dalam rumah?” Encik Zainal bertanya pada Ieqwa yang tercungap-cungap.
“Tak ada apa abah.Saja je.” Jawab Ieqwa sambil ketawa. “Abah bila
balik?” Tanya Ieqwa sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Pukul enam petang tadi abah dah balik. Kakak yang tak perasan sebab
lena sangat tidur.” Ujar Encik zainal sambil menyambut salam Ieqwa.
“Petang? La…sekarang dah petang ke? Rasanya kakak tidur sekejap je
tadi.”
“Petang apanya? Sekarang dah malam la kakak oi! Tak nampak ke abah
tengah tengok berita ni?” Encik Zainal menunjuk ke arah televisyen yang sedang
menyiarkan Buletin Utama itu. Ieqwa memang begitu, kalau dapat tidur tak ingat
dunia. Siang dan malam pun dah tidak boleh di beza.
“Dah malam?”Membulat mata Ieqwa.Dia betul-betul rasa yang dia hanya
tidur beberapa minit sahaja.Tidak sangka pula yang rupa-rupanya dia telah tidur
hampir empat jam.Adiknya, Ieqmal mentertawakan dia.
Deringan telefon di ruang tamu mengganggu tumpuan Ieqwa yang sedang
menonton televisyen. Dia yang sedang berbaring di sofa itu tidak mengendahkan
deringan telefon tersebut. Mama dan abahnya pula keluar bekerja. Siapa lagi
yang mahu menjawab telefon? Adiknya yang sedang meniarap sambil membaca buku
cerita itu dikuis-kuis dengan kaki.
“Adik, pergi angkat telefon tu.” Dengan kuasa veto yang ada, Ieqwa
memberikan arahan.
“Okay!” Tanpa membantah Ieqmal
menurut perintah. Segera dia berlari untuk menjawab telefon. Ieqwa tergelak kecil
melihat telatah adiknya. Walaupun dia selalu membuli Ieqmal, namun si kecil itu
sangat mendengar kata-katanya.
“Opah!” Ieqmal menjerit keriangan apabila mendapat panggilan daripada
opahnya. Ieqwa segera menoleh memandang Ieqmal. Pantas dia berlari dan
mendapatkan gagang telefon daripada Ieqmal.
“Hai opah!” Sapa Ieqwa. Ieqmal melompat-lompat untuk mendapatkan gagang
telefon semula.
“Assalamualaikum.” Suara opah kedengaran di hujung talian.
“He he he. Waalaikumsalam. Opah sihat?” Tersipu-sipu Ieqwa kerana
disindir.
“Sihat Alhamdulillah. Tadi adik yang jawab telefon. Kenapa tiba-tiba
boleh dengar suara kakak pula?”
“Ooo…adik, dia…nak tengok tv, tu yang dia pass telefon kat kakak.” Bohong Ieqwa. Ieqmal pula menjerit-jerit
mengatakan kakaknya penipu.
Terdengar tawa opah di hujung talian. “Ye la tu kakak oi. Tak payah nak
bede’ah! Macam le opah tak kenal kakak tu. Kecik-kecik dulu opah yang bela
tau.”
Ieqwa menahan tawa. Jari telunjuknya di letakkan di bibir, tanda
menyuruh adiknya senyap. “Mana ada bede’ah opah. Kakak rindu kat opah la, sebab
tu ambil telefon dari adik tadi. Opah tak nak cakap dengan kakak ke? Kalau tak
nak tak pe la…kakak kasi balik telefon kat adik.” Ieqwa berpura-pura merajuk.
“Eee..Ya Allah! Dah tua-tua bangka nak meghajuk. Getik aih!” Tutur opah
dengan loghat Perak yang masih melekat walaupun telah lama berhijrah ke Pulau Pinang.
Terburai tawa Ieqwa.
“Kakak cuti lama ke?” Opah menukar tajuk perbualan.
“Dua minggu je opah.” Jawab Ieqwa.
“Uiihh! Lama tu. Mai la balik rumah opah.” Pelawa opah.
“Balik rumah opah? Buat apa? Sama je dengan sini. Opah pun tinggal kat
pekan. Kalau kampung ada sawah padi ke, sungai ke best la jugak.” Tutur Ieqwa jujur.
“Bertuah punya budak. Rumah aku tak best
katanya. Kalau aku tahu dah beso jadi ghupe ini, tak sio aku bela dari kecik
dulu.” Tawa Ieqwa makin menjadi. Seronoknya dia dapat memain-mainkan opah. Memang
hobi dia membuat orang sekeliling naik angin dengannya. Tapi tidak semua orang
boleh dibuat main sebegini. Hanya orang tua yang sporting seperti opah dan ibu bapanya sahaja yang boleh. Kalau
dengan orang lain pasti akan di’cop’ kurang ajar.
“Ye la opah. Nanti kakak tanya mama dengan abah. Kalau dia orang
izinkan, opah nak datang ambil kakak ke? Kakak tak nak naik bas.”
“Suruh le abah kamu tu anto kan. Bukannya jauh sangat pun. Tak kuasa la
opah nak datang ambil. Opah busy”
“Ala opah ni. Baik tak payah ajak kalau macam tu. Abah mana ada masa.”
“Alah! Abah kamu tu pegawai PPD je. Bukannya Perdana Menteri yang sibuk
memanjang. Tapi,kalau dah tak ada masa sangat, kakak naik je la bas. Kalau tak
nak naik bas naik keretapi. Kalau tak nak keretapi naik kapal terbang. Apa
susah? Kenderaan awam belambak zaman la ni. Zaman dulu ye la payah.” Panjang
lebar opah menerangkan.
“Opah tu pulak cikgu pencen. Busy
apa ke bendanya?” Ieqwa memulangkan paku buah keras.
“Apa ingat cikgu pencen tak busy
ke? Opah kemas rumah, memasak, tanam bunga, mengajar tuisyen. Eh!Macam-macam
lagi la opah kena buat. Lagi busy
daripada abah kamu tu tau.” Bersungguh-sungguh opah cerita satu per satu.
“Ye la opah. Kalau cakap dengan opah memang semua orang selalu kalah. Memang
layak sangat la opah jadi juara debat masa kat universiti dulu.” Akhirnya Ieqwa
mengalah. Malas mahu bertikam lidah dengan nenek sendiri.
“Tahu tak pe.” Kata opah sambil ketawa.
“Okay la opah. Nanti kakak tanya
abah macam mana ye. Opah siap-siapkan je la
tempoyak kat rumah tu. Nanti kakak nak makan tempoyak ikan patin.” Opah
tergelak kecil mendengar permintaan Ieqwa. Faham sangat dia dengan kegemaran
Ieqwa yang satu itu.
Mereka berbalas salam sebelum talian di matikan.
No comments:
Post a Comment